Monday, December 25, 2006

Hujan 2

Suatu ketika dahulu apabila Ipoh menjadi tuan rumah kejohanan Hoki Piala Azlan Shah. Kejohanan ini suatu ketika dahulu diiktiraf bertaraf dunia. Di dalam hujan yang renyai-renyai aku dan beberapa orang kawan sekampong duduk betul-betul di belakang pintu gol Malaysia di Stadium Hoki Azlan Shah. Hari itu Malaysia lawan Holland kalau tidak salah. Tujuan kami duduk di belakang pitu gol Malaysia ialah kerana Holland dijangka dapat menjaringkan gol lebih banyak dan sudah tentulah fokus kamera TV akan menunjukkan gerak perlahan dua tiga kali untuk menunjukkan gol tersebut. Setiap kali gol kami akan melompat dan bersorak sambil menggegarkan pagar di belakang pintu gol. Di sebelah malam kami akan menoton sedutan gol kejohanan tersebut dan ketawa sakan bila menonton gelagat masing-masing keluar TV bila gol dijaring termasuk bila gol Malaysia dibolosi. Itulah aktiviti aku sepanjang kejohanan hoki tersebut tidak kira hujan atau panas.
<
Kenapa agaknya manusia suka melihat diri mereka sendiri dirakamkan. Bermula dengan cermin, kamera gambar, kamera video dan sekarang melalui telefon bimbit. Yang terlalu over minat melihat diri sendiri, akan menjadi pelakon jika berbakat. Kurang berbakat akan menjadi pelakon di hadapan talipon bimbit. Selalu jugak aku dapat emel menujukkan aksi yang dirakam melalui talipon bimbit. Setengahnya kena skodeng dan ada jugak yang sendiri suka. Mungkin sifat semula jadi manusia yang suka melihat diri sendiri ini bertolak dari hakikat yang perbuatan kita akan diadili di Padang Masyar. Naluri manusia sebenarnya telah secara terang mengakui yang setiap perbuatan akan dilihat kembali, tetapi di Padang Masyar babak-babaknya tidak boleh edit, tiada kreatif editing.
<
Aku tidak ingat keputusan perlawanan Malaysia lawan Holland itu. Hari itu aku dan kawan-kawan basah kuyup, bersemangat sukan tetapi bermotifkan pelakon sampingan. Jikalau ada sesiapa yang terlihat sedutan perlawanan itu dan ternampak budak memakai baju warna hijau meloncat ketika gol Malaysia dibolosi itulah aku...BokD.

Hujan 1

Petang itu hujan turun rintik-rintik tetapi kerap. Aku dan bapa aku duduk bertenggek atas motorsikal Honda C65 di kaki lima depan kedai gunting rambut India. Aku baru lepas gunting rambut. Bapa aku diam dan akupun diam. Dalam kepala aku, bilalah nak balik dah dekat sejam aku bertenggek atas motor. Pasallah bapa aku tidak redah saja hujan ni, sekali sekala mandi hujan syok juga. Dalam kepala bapa aku tidak tahu apa yang dia fikirkan. Sesekali bapa aku menyedut cerut 5 sen sebatang, asapnya berkepul dan kerap kali singgah dekat batang hidung aku. Aku suka bau itu. Untuk sampai ke rumah makan masa setengah jam juga. Kalau kami bawa baju hujan sebagai perlindung sudah tentu kami tidak perlu bersidai dekat kaki lima ini.
Bila aku dewasa, aku perasan yag iklan insuran selalu membandingkan perlindungan insuran yang diberi adalah umpama payung yang melindungi kita dari panas dan hujan. Sejauh mana benarnya, hanya orang yang pernah menerima manafaat insuran itu sahaja yang tahu. Sekarang inipun telah ada insuran cara Islam-Takaful. Bank juga kadang kadang mengatakan mereka menyediakan perlindungan kewangan apabila mempromosikan sesuatu produk pinjaman. Tetapi anehnya apabila kita benar-benar memerlukan perlindungan kewangan itu, bank cepat-cepat menarik payung yang diberi sebab ketika itu kita tidak mampu dipayungi. Logiknya ketika kita mampu kita tidak perlu meminjam dan tidak perlupun dipayungi dengan pinjaman. Sebenarnya tiada keikhlasan apabila kita bercakap mengenai bantuan atau perlindungan di dalam dunia perniagaan. Segalanya bermotifkan keuntungan.
Hujan nampaknya tidak mahu berhenti sedangkann hari semakin maghrib. "Jom balik", tiba-tiba keluar dari mulut bapa aku. Aku yang dah mula pening-pening lalat dengan asap cerut bingkas terjun dari motor. Sambil bapa aku menolak motor, aku disuruh duduk rapat-rapat dan kepala aku melekap dekat belakang dia. Ketika motorsikal bergerak meredah hujan dan jauh meninggalkan kedai gunting, aku berlindung di belakang bapa, sedikit sangat hujan yag terkena pada aku sedangkan bapa basah kuyup.

Saturday, December 16, 2006

Pendahuluan

Pendahuluan adalah bab pertama bagi sebuah penulisan. Saya bukanlah penulis, tetapi zaman sekarang ini kita tidak perlu ada bakat menulis untuk menyatakan pendapat kita melalui penulisan. Blog adalah contoh yang amat nyata. Zaman sebelum merdeka dan awal kemerdekaan mata pena merupakan senjata tajam yang ditakuti oleh pesaing politik. Di era multimedia ini semua benda dan berita boleh kita degar dan lihat, kadang-kadang menjadikan kita kurang kritis dan kreatif.

Jangan risau, saya bikin blog ini sebenarnya sebagai menurut pesanan dari sahabat maya saya ilham. Katanya blogging kan jadi satu trend komunikasi yang perlu dimiliki oleh setiap orang. Disamping itu sengaja cuba cuba mencari hobi baru kalau minat itu ada. Bagai hidup di Hutan Hujan Tropika, hidup ini juga bermusim hujannya. Ada musim hujan yang kita boleh bermain rakit, ada musim hujan yang kita berselimut sejuk, ada musim hujan yang kita berpindah rumah dan ada musim hujan yang kita hayut dibawa arus.