Friday, April 24, 2009

Tak Nak!

  • Sebuah bangunan kedai pejabat yang berada di satu kawasan dengan pejabat aku, selang tiga blok dan berhampiran dengan cawangan BSN adalah merupakan bilik gerakan BN di dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau yang lalu. Beberapa minggu yang lalu, di situ ramai wanita-wanita yang digelar puteri oleh sebilangan masyarakat, duduk bersembang. Aku sebenarnya tidak sempat untuk berkenalan walaupun seorang daripada mereka. Sayang peluang untuk berkenalan dengan mereka yang rata-ratanya nampak anggun dan bergaya juga apabila dipandang dari dalam cermin tingkap kereta aku. Entah kenapa pada masa itu aku terlalu memikirkan siapa mereka dan langsung tidak memikirkan espek lain yang mungkin boleh dieksplorasikan.

    Itu adalah kisah beberapa minggu yang lepas. Kadang-kadang aku semacam perasan yang otak aku ini suka melakukan flashback. Lebih membingungkan aku flashback itu selalu membuat andaian jika dalam situasi tertentu perkara lain yang berlaku. Ada situasi yang aku merasakan amat tidak puashati dengan apa yang telah aku perbuat. Permainan di kepala aku ini sedikit mengganggu aku. Ia membuatkan aku merasa aku ini jenis yang tidak pernah puas dengan apa yang aku telah dapat atau telah aku lakukan. Namun begitu aku tidaklah mengangap ianya satu permasalahan yang besar serta memerlukan transformasi mental secara keseluruhan dan mendadak. Lagipun aku senang dengan putaran pemikiran yang sebegitu walaupun ianya bukanlah sesuatu yang bersifat proaktif dan dinamik yang merupakan kreteria utama untuk berjaya di dalam dunia yang serba moden ini.

    Cerita pasal rokok sikit. Tadi aku hisap rokok. Sebelum sampai kepuntung aku terus buang. Jika di nilai dari segi duit bahagian yang belum dihisap itu adalah dianggarkan bernilai 25 sen (andaian sebatang rokok bernilai 60 sen). Sekarang ini di kotak rokok telah disertakan dengan gambar-gambar penyakit cancer dan penyakit-penyakit kronik yang dikaitkan dengan rokok. Menggerunkan juga. Disebabkan merokok kadang-kadang sesuatu yan tidak dapat dielakkan maka selalunya perokok macam aku akan buat buat tak nampak saja dan memang selalunya tak nampakpun gambar itu. Seorang perokok tegar yang aku kenali mempunyai kaedah penyelesaian yang sangat baik iaitu dengan membeli bekas rokok (cigarette case). Rokoknya akan dimasukkan di dalam bekas rokok itu maka perasaan rasa bersalah tiap kali hendak mengeluarkan rokok dengan melihat gambar-gambar dasyat itu dapat dielakkan. Mudah, dan ia adalah suatu bukti bahawa setiap benda yang direka walaupun kecil dan nampak kurang faedah pada suatu masa, akan mendapat tahap penghargaan yang tinggi di masa yang lain.

    Apa-apapun merokok adalah sesuatu yang tidak elok dan merisikokan hidup dengan bahaya penyakit. Sepanjang pengalaman aku merokok, aku telah cuba berhenti tidak kurang dari 5 kali dengan rekod tempoh berhenti lebih setahun dan paling pendek 1 minggu. Sehingga kini aku masih gagal membuang tabiat kurang baik itu. Namun di dalam proses itu aku telah berjaya mengurangkan bilangan batang dalam sehari, sesuatu yang aku rasa adalah penyelesian jangkapendek yang patut aku banggakan dengan harapan ianya juga adalah satu proses untuk aku berkata Tak Nak!.

Wednesday, April 1, 2009

Bukit Selambau, 08000 Sg Petani Kedah

Aku adalah salah seorang pengundi di Bukit Selambau. Ada cadangan melawak yang menyuruh aku menjadi calon yang ke 16. Sejak akhir akhir ini perkataan “menjadi calon” adalah istilah lawak jenaka di sini. Namun dalam lawak-lawak itu, Bukit Selambau telah mencatat rekod Malaysia dari segi jumlah tertinggi pencalonan untuk memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau…ADUN Bukit Selambau la tu. Pada aku ianya satu proses politik yang wajib di Malaysia tidak lebih dari itu…titik. Jangan fikir banyak banyak apa yang akan berlaku jika dia menang atau dia kalah….apa apa pun faktanya 14 orang bakal tewas…jadi secara psikologinya menjadi salah seorang dari 14 bukanlah sesuatu yang pelik kan teesh.

Lautan bendera biru tua kelihatan amat banyak di Sungai Petani sekarang. Berjalan di celah-celah dacing aku sebenarnya tiada perasaan langsung. Cuma disebabkan aku selalu terdorong memikirkan sesuatu yang boleh memperli mereka maka hatiku berkata alangkah baiknya kain kain itu dikumpul dan dihantar ke Darfur untuk menyelimuti tubuh tubuh kecil mangsa kebuluran.

Ceramah umum juga makin rancak, dianjurkan oleh golongan yang tiada tempat mengadu di media awam atau di media berlesen. Aku seperti yang tadi tiada perasaan langsung. Cuma disebabkan aku selalu terdorong memikirkan sesuatu yang boleh memuji tindakan mereka maka hatiku berkata alangkah baiknya jika ceramah ini diadakan selalu kerana ianya adalah satu stimulus ekonomi peringkat tempatan yang berkesan serta menanam semangat ber-entrepreneur di kalangan bumiputra Melayu di luar ruang lingkup pencacai di PWTC.

Sebenarnya aku tidak boleh melawan bias dan bersikap prajudis keatas apa juapun. Aku percaya semua orangpun begitu juga. Nepotisma dan kronisma sebagai satu cabang anutan sikap bias contonhnya, adalah sebenarnya merupakan naluri semulajadi manusia. Sikap yang terbentuk secara pralogik yang sering menidakkan hak dan kepatutan sesuatu keputusan pilihan yang dibuat. Sukar sebenarnya melawan ketaksuban tetapi ia tidak mustahil dibendung. Sesuatu keputusan yang baik boleh dilakukan dengan berfikiran terbuka. Kalau kita menjadi sedikit alim berdoa dan melihat dari sudut agama yg kita anuti segala bias akan terlerai dan sesungguhnya segala yang kita lakukan perlu diiringi dengan niat.

Sejak maya sunyi dari halolander aku cuba mengintai tapak baru. Sekadar mengisi kekosongan raung ruang antara waktu kerja. Sekali lagi aku menjadi bias kepada apa yang aku dapat rasakan berada tengah-tengah mereka tidak mungkin dapat menandingi kegembiraan bila aku berada di kalangan kalian…(biar sekadar menjadi mulukut di tepi gantang).

darling…..
lalu apa lagi hendak kukatakan..
sejak aku merasa dimensi ini perlu berubah..
jiwa kadang kadang tersesat mengingin mimpi selain darimu..
akhirnya aku masih seperti dulu..