Wednesday, September 24, 2008

Ramadhan dan raya

Besok masuk hari yang ke 25 puasa. Lailatulqadar mungkin telah berlaku atau belum lagi. Berbahagialah kepada yang menemuinya. Masih ada 5 hari lagi, kepada yang mampu, aktiviti ibadat sudah tentunya sedang memasuki zon maksimum….begitulah hendaknya walaupun perbuatan selalunya tidak menggambarkan langsung apa yang kita inginkan ia berlaku.

Kerap kali terfikir kenapa harus mempertaruhan syurga/neraka untuk kenikmatan dunia yang sementara. Kata orang biar seimbang tetapi bagaimana ia boleh jadi seimbang sedangkan kecapan nikmat dunia sedang diberi advantage. Kita diberi dunia dengan mata, telinga, hidung, mulut, tangan dan sebagainya sedang akhirat kita hanya diberi iman. Iman yang sering di uji bisikan syaitan. Namun Tuhan itu maha adil, Lailatulqadar adalah malam penghargaan iman. Malam iman diberi advantage seribu kali ganda….bandingan yang dapat aku bayangkan adalah seseorang tidak perlu menjadi Pele dan bermain bolasepak sepanjang carrier untuk menjaring 1,000 gol. Tentulah perbandingan itu tidak layak langsung jika kita benar benar menghayati janji Allah di malam seribu Rahmat itu.

Semacam sudah menjadi tradisi saat paling best selepas puasa ini adalah Raya. Mungkin sebab dari kecil sudah terdidik untuk merasa seronok bila tiba hari raya. Bila aku sudah dewasa sekarang ini saat yang paling aku minat bila raya ini adalah memandu pulang ke kampong. Memandu di ketika itu dengan radio yang memutar lagu raya ada semacam perasaan seronok bercampur pilu yang tidak akan ditemui pada saat saat pemanduan yang lain. Sehinggakan kadang kadang terlupa dalam tempoh pemanduan inilah yang meragut nyawa paling tinggi di dalam statistik kemalangan jalanraya. Memikirkan itulah dan usaha dan persediaan agar gembira tidak bertukar duka aku terpaksa mengeluar belanja juga untuk servis kereta tayar botak kena tukar dan check ini itu gedebak kedepuk dekat seribu jugak bagi kat workshop. Memang aku rasa salah satu sebab banyak berlaku kemalangan adalah kerana kondisi kereta yang tidak sesuai untuk pemanduan jarak jauh.

Namun begitu hidup dan mati adalah ketentuan Ilahi. Setiapkali gembira sentiasa beringat yang kematian itu sentiasa berada di sisi. Mungkin besok lusa, minggu depan, bulan depan, tahun depan, 10 tahun lagi, 50 puluh tahun lagi…yang pasti ia akan datang. Semalam dalam kalut kalut lagu raya aku terdengar lirik ini….dan aku teringat kan korang..

Kalau tuan pergi kehulu
Belikan saya bunga seroja
Kalau tuan pergi dahulu
Nantikan saya di pintu syurga…


Kepada yang kadang kadang tersinggah di sini teesh, ilham, vaart, H, darling, fudhla, aya, lobaloba, hanim, eva, adik, kak ri, NHK, zeti, seri, bat, jazz, kak nor, misa dlln..Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin.

Tuesday, September 9, 2008

1/3 Ramadhan

.
.
Sudah 1/3 Ramadhan. Rasa kurang sangat penghayatan. Namun penghayatan yang kurang itulah yang mampu aku buat setakat ini. Penghayatan yang kurang itu pada aku sekali lagi bukti buat diri aku yang aku masih tergolong dalam kelas bawahan dalam bab beribadah. Setiap kali jiwa terdorong kearah ingin mencapai tahap ketinggian ibadah tiap kali itu juga “dunia” terpampang di depan mata. Semuga di 2/3 yang kehadapan aku dapat mengecapi ibadah yang lebih berkesan dan penuh kepuasan rohani.

Aku dapat rasakan istimewanya Ramadhan, tambahan pula aku yang lambat dewasa di dalam bab agama. Apabila teringat Ramadhan yang “rugged” bescompang camping semacam minimbulkan urgency untuk menampal balik kerabakan yang telah berlaku. Tiada alat yang dapat membawa aku kembali ke detik itu. Aku hanya boleh mengandaikan aku dapat dan punyai cukup masa untuk menampalnya dengan jahitan yang paling teliti agar ia nampak cantik dan bersih bila di Sana kelak. Melihat amalan orang terasa diri ini kerdil dan rendah benar.

Tahun ini merupakan tahun pertama Ramadhan tanpa bapa. Bila bersembahyang Tarawih, bila aku berada di saf, terbayang kelibat lututnya terbengkuk sidikit kehadapan tiap kali mengaminkan Al-fatihah. Tiada lagi dia di situ. Tahun ini juga merupakan sambutan Ramadhan bermula betul betul di akhir tarikh kematian aruah emak. Aku tidak dapat mengelak daripada mengaitkan dua kehilangan ini di dalam Ramadhan. Kedua dua aruah orang tua aku itu adalah amat istimewa dan keistimewaan Ramadhan menjadikan ingatan itu lebih terkesan dari bulan bulan yang lain.

Dan di sebalik semua itu, makanlah yang paling ketara nikmatnya. Rasa lapar membuatkan keinginan dan selera makan begitu hebat sekali. Setakat ini aku telah mencuba hampir 20 gerai yang berlainan dengan juadah yang berlainan atau juadah yang sama tetapi dengan bentuk dan rasa yang sidikit berlainan. Setakat ini prestasi juadah agak membanggakan kecuali terdapat sekali terbeli tepong bungkus yang tepongnya tak cukup masak. Ketika mengadap juadah itu terdetik di hati....harap harap aku bukanlah jenis orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga.