Sunday, April 13, 2008

Kisah 2 minggu lepas

Al- fatihah..
Dua minggu lepas aku kehilangan seorang abang sepupu. Allahyarham adalah dari generasi abang abang aku. Dalam keluarga aku generasi abang abang aku antara sepupu sepupu mereka agak rapat berlainan dengan generasi aku. Mungkin disebabkan pada zaman abang abang dan kakak kakak aku dulu opah aku masih kuat dan tinggal di rumah sendiri jadi bila ada peluang keluarga mak aku selalu berkumpul di rumah orang tua mereka. Mereka berkumpul dengan anak anak sekali mungkin dari situlah mereka jadi rapat. Malahan seingat aku abang sepupu aku ini antara yang anak sedara sangat diminati oleh aruah ibu aku. Bila tiba generasi aku perkara itu kurang berlaku lagi. Abang sesupu aku ini meninggal di rumah mertuanya di Kedah, semestinya menjadi kewajiban untuk aku menziarihinya.

Ketika menziarinya itulah bermain difikiran aku tentang memori yang aku ada bersama abang sepupu aku ini, ternyata aku tidak rapat dengan dia. Aku hampir tidak dapat mengingati satu dialog dan situasi aku bersama dia. Namun begitu kesedihan itu datang juga apabila melihat emak saudara aku menangis berbengkak mata. Sehinggalah pagi tadi aku terbangun aku teringat di hari tamat pengajian aku, di mana aku ditemani oleh dua orang ia itu abang kandung aku dan sepupu aku yang meninggal ini. Mereka menjadi pengganti orang tua aku yang tidak dapat hadir disebabkan seorang lagi abang aku berkahwin pada tarikh yang sama. Di hari itu ketika aku melihat ramai kawan kawan aku bergambar gembira dengan ibubapa masing masing aruah dan abang akulah yang menemani aku. Gembira bercampur sedih (dahlah masa tu belum ada Darling) aku bila teringat hari itu.

Begitulah kadang kadang kita kehilangan seseorang yang telah kita kenali lama tetapi tidak sempat untuk beramah mesra atau mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya terlalu pendik kehidupan ini. Kesibukan dan perubahan cara hidup dengan perkembangan teknologi komunikasi beserta dengan “keselesaan” untuk menjadikan kita hidup tanpa terlalu banyak berinteraksi telah menjadikan kehidupan bersifat individualistik itu semakin mudah dan selesa. Malahan sekarang ini matipun sudah dikomersilkan…dengan adanya pakej pengurusan jenazah keperluan untuk bermasyarakat itu tidak penting lagi. Dulu seingat aku kalau orang yang tidak mahu rapat dengan saudara dan masyarakat itu selalu digertak “ besok kalau mati siapa nak tanam ko”.

Akupun tidak tahu apa point aku menulis perkara di atas, mungkin sekadar ingatan kepada diri sendiri tentang suatu detik yang sangat hebat di dalam kehidupan manusia iaitu kematian. Kematian dijanjikan dengan kehidupan yang kekal abadi. Kesenangan yang dikecapi di sini tidak akan dapat menandingi keindahan kehidupan di sana dan kesengsaraan kehidupan di sini tidak akan dapat menandingi keazapan kehidupan di sana.